Siaran Akhbar

Tingkat kawalan cegah PATI lindungi kedaulatan negara

Jun 22, 2020


Kuala Lumpur, 22 Jun – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyarankan kerajaan perlu terus tingkatkan kawalan di sempadan negara untuk mengelakkan kemasukan PATI.

Selain tidak mahu ada tali barut yang terlibat, kerajaan perlu praktikal dalam usaha menangani kemasukan PATI.

“Kerajaan perlu melaksanakan siasatan dalaman yang berkesan untuk mengelakkan berlakunya kompromi dalam kalangan anggota pihak berkuasa. Di samping memperketatkan undang-undang, rakyat juga digalakkan untuk membantu kerajaan menyalurkan maklumat pada masa yang sama.”

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini.

“Biarpun usaha cegah PATI sukar dicapai dalam tempoh masa yang singkat, kawalan dan penguatkuasaan daripada semua pihak berkuasa dapat mengurangkan jumlah kemasukan PATI. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak perlu diperkasakan untuk membendung masalah ini daripada terus berlarutan”.

Sebarang kemasukan tanpa dokumen yang sah adalah salah dan ia boleh menggugatkan kedaulatan negara. Dr. Dominic menyeru semua rakyat untuk bersama dengan kerajaan dalam membanteras PATI.