Siaran Akhbar

Wajib untuk menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan

Okt 24, 2021

Sejak kebelakangan ini isu pengeluaran wiski jenama Timah semakin hangat dibahaskan dan pelbagai pandangan telah dikeluarkan sehingga menyentuh sensitiviti keagamaan.

Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Mak Kah Keong berpendapat, rakyat Malaysia tidak mengira penjual atau pembeli harus mempunyai sikap tanggungjawab bersama dalam diri masing-masing.

“Sebagai rakyat Malaysia, wajib menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan. Kita juga mengetahui orang Islam tidak boleh ‘haram’ minum atau berurusan berkaitan arak.

“Jadi tanggungjawab bersama untuk memahami itu penting demi kesejahteraan negara. Malah agama Islam tidak menafikan hak-hak orang bukan Islam untuk meminum atau membuka kilang arak tetapi harus mengikut peraturan serta undang-undang Malaysia,” katanya semasa menyampai dasar-dasarnya dalam Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN peringkat Wilayah Persekutuan semalam.

Dalam pada itu Mak menjelaskan, parti politik di Malaysia harus menjadi pembesar suara dan membela sekiranya maruah agama Persekutuan dicabul.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin negara harus memainkan peranan penting dalam isu ini kerana seorang pemimpin sepatutnya mengetahui perbezaan bukannya menimbulkan konflik.

“Biarpun ada pihak yang mengatakan perbuatan tutup kilang adalah zalim tetapi tidak perlu membetulkan apa yang salah.

“Sebagai parti politik dan juga ‘penggubal polisi’, saya menyeru pihak-pihak yang berwajib meneliti semula dasar-dasar baharu berkaitan isu ini agar memberi kebaikan kepada semua pihak,” tegasnya.

Tambah Mak lagi, zaman Nabi Muhammad S.A.W senantiasa berlaku adil biarpun kepada orang bukan Islam. Antaranya ‘mewajibkan’ pertolongan diberikan kepada bukan Islam. Ini menunjukkan pentadbiran di bawah seorang yang beragama Islam bukanlah zalim tetapi lebih kepada menjaga hak dan keamanan negara.

Dalam pada itu Mak juga menyeru agar mengambil hikmah atau kebaikkan kenapa Islam mengharamkan arak.

MAK KAH KEONG
Setiausaha Agung Parti GERAKAN