Siaran Akhbar

Wajibkan pemakaian topeng muka dan pembersih tangan

Apr 22, 2020

Penurunan drastik kes Covid-19 pada fasa ketiga ini adalah satu petanda baik dalam memerangi wabak ini. Perubahan angka dari 3 digit kepada 2 digit kes baharu setiap hari menunjukkan kita semakin hampir dalam memutuskan rantaian pandemik yang melanda negara kita. Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan garis panduan pencegahan Covid-19 selepas tamat tempoh PKP.

Memandangkan sejumlah kes yang dilaporkan adalah sporadik, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyarankan kepada kerajaan agar mewajibkan semua rakyat memakai topeng muka, amalkan penggunaan pembersih tangan serta sarung tangan ketika keluar dari rumah. Termasuklah dalam urusan pekerjaan dan aktiviti himpunan dan sebagainya. Tindakan ini penting untuk mengelakkan berlakunya pertambahan kluster Covid-19 dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sekiranya, negara kita disahkan bebas Covid-19, namun ada risiko ia menyerang kembali kerana seluruh dunia sedang berjuang untuk memerangi Covid-19. Langkah pencegahan ini perlu dilaksanakan untuk mengurangkan risiko jangkitan baru berlaku dalam negara.

Kerajaan harus merangka satu garis panduan pencegahan untuk semua rakyat mematuhinya. Kaedah ini termasuklah melaksanakan kempen-kempen kesihatan dan meningkatkan amalan kebersihan kepada semua masyarakat.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia berharap semua rakyat kekal memberi kerjasama untuk memerangi wabak Covid-19. Teruskanlah duduk di rumah dan amalkan penjagaan kebersihan dan pemakanan sihat.